Wednesday, July 16, 2008

ANWAR ATAU SAIFUL YANG TERSEPIT SEKARANG?


Memetik laporan Malaysiakini hari ini “Anwar bawa isu liwat ke JAWI” dan laporan KPMU.net “Kenapa Anwar takut sahut cabaran Saiful” membuatkan saya kian yakin dan percaya yang isu ini dapat diselesaikan secara baik.

KPMU.net melalui pendeta menulis :

“Anwar kini telah failkan aduan di Jabatan Agama Islam bersama isterinya. Beliau sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak perlu bermuhabalah atas nasihat alim ulama di dalam dan di luar negeri. Tidak berdosa jika Anwar bermuhabalah untuk mencuci nama baik beliau. Beliau mencabar tertuduh bermuhabalah tetapi beliau sendiri enggan melakukannya.”

Manakala laporan Malaysiakini melalui Abdul Rahim Sabri menulis :

"Dalam Islam, lelaki yang dituduh (melakukan liwat) adalah tidak bersalah. Siapa yang menuduhnya harus membawa saksi, bukannya seseorang (yang dituduh) untuk bersumpah sebab sumpah adalah sebahagian daripada pembuktian. (Bersumpah) ini bukan untuk beliau (Anwar) membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. (Tetapi) ini adalah untuk penuduh untuk membuktikan beliau bersalah," jelasnya.

Dan ini pula adalah pendapat beberapa tokoh agama negara tentang isu ini yang dipetik dari laman Mstar :

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata “Lafaz sumpah wajar dijadikan jalan terakhir selepas mereka yang saling tuduh-menuduh tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan itu melalui proses lain dalam mencari keadilan.”

Mufti Johor, Datuk Noh Gadut berkata “Isu fitnah seperti dakwaan kes liwat yang sedang hangat diperkatakan ini wajar ditangani di mahkamah (syariah) kerana ia akan membabitkan lebih ramai pihak berwibawa dalam menentukan keputusan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak,"

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata “Bersumpah dengan menjunjung Al- Quran bukanlah kaedah Islam. Bukan itu yang dianjurkan oleh Islam. Nabi pun tidak pernah buat begitu. Bersumpah dengan menjunjung Quran adalah tradisi orang Melayu.”

Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat berkata “Bersumpah atau bermubahalah merupakan langkah paling akhir yang perlu dibuat selepas proses perundangan dijalankan. Biarlah pihak mahkamah siasat dulu. Bersumpah adalah langkah yang terakhir,"

Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata “Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam. Yang menuduh (Saiful) kena mengemukakan empat orang saksi di mahkamah. Kalau tidak boleh dikenakan sebatan 80 kali.”

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman berkata “Perbuatan bermubahalah (sumpah laknat) adalah bercanggah dengan ajaran Islam terutama jika ia membabitkan unsur-unsur politik.”

Bersandarkan kepada pandangan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh agama tersebut, maka sewajarnya semua pihak (termasuk pendeta KPMU.net) membiarkan isu ini diselesaikan di Mahkamah Syariah. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah nanti tentunya akan mencatatkan satu precedent yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan Islam di negara ini sebelum kejadian ini.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan aduan fitnah kes liwat terhadap beliau di Mahkamah Syariah.

Beliau berkata “Saya tak akan campur tangan walaupun mahkamah ini (Mahkamah Syariah) berada di dalam bidang kuasa saya, biarkan hakim-hakim yang berwibawa membuat ketentuan mengikut enakmen perundangan.

Beliau juga yakin hasil siasatan polis yang telah dijalankan boleh digunakan sebagai bukti dalam membantu siasatan yang dijalankan pendakwaraya Mahkamah Syariah. Bila ditanya sama ada pihak polis akan menghentikan siasatan terhadap kes ini, beliau bagaimanapun tidak pasti mengenai perkara tersebut.

No comments: